Air mata kesyukuran

Air mata kesyukuran

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

TEMERLOH: Hanya air mata membayangkan rasa syukur warga emas ini tatkala menerima kunjungan dan diberi bantuan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad di kediamannya di Kampung Paya Taram di sini, hari ini.

Mohamed Isa Hassan, 68, kini hanya mampu terlantar di atas katil selepas diuji pelbagai penyakit.

Adiknya, Zaleha Hassan, 45, berkata abangnya itu mengalami retak tulang belakang selepas terjatuh sebelum Aidilfitri lalu.

“Selepas raya (Aidlfitri), abang dan keluarga dijangkiti pula COVID-19 dan baru-baru ini dikesan mempunyai masalah jantung dan memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang di kediamannya di sini, hari ini.

KUALA KRAU 20 OGOS 2021. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad melawat dan memberi sumbangan alat bantuan pernafasan kepada Mohd Isa, 68, yang jatuh dan retak tulang belakang dirumahnya di Kampung Paya Taram. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, bantuan itu dapat disampaikan selepas ada pihak sudi menghulurkan bantuan menanggung kos pembelian alat bantuan pernafasan untuk digunakan Mohamed Isa. 


“Sebelum ini Mohamed Isa dirawat di hospital tapi adik dia beritahu dia nak balik (rumah) dan doktor kata boleh balik kalau ada alat bantuan pernafasan dan harganya bukan murah, RM2,000 hingga RM3,000 juga.

“Kita cuba cari jalan untuk membantu, Alhamdulillan, Allah permudahkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa konsisten dan ikhlas membantu rakyat yang memerlukan. 

“Bantuan hari ini menjadi bukti kita sentiasa istiqamah membantu rakyat yang dalam kesusahan, bukan ketika pilihan raya atau banjir, sebaliknya sepanjang masa, malah sebelum ini kita pernah beri katil untuk kegunaan Mohamed Isa.

“Pagi tadi juga kita bantu tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kerdau, Paya Ara dan Kuala Krau untuk aktiviti berkaitan pendidikan termasuk untuk menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang.