LIPIS: Pusat pemindahan sementara (PPS) SK Berchang kembali dibuka di Padang Tengku apabila 16 keluarga mula berpindah berikut air melepasi jambatan Sungai Telang, di Kampung Tembeling Berchang, awal pagi, 1 Januari 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long berkata, penduduk lain yang berada di tempat berisiko banjir diminta agar berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah.
Katanya, mereka perlu menjaga dokumen penting dan membawanya bersama jika diarahkan berpindah.
“Saya harap banjir kali kali ini tidaklah besar. Diharapkan, ia tidak berlanjutan berikut tiada hujan sejak tengah hari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata empat PPS dibuka di daerah ini membabitkan pemindahan 192 mangsa, pada sebelah petang.
“Paras air di enam tempat sukatan banjir sungai utama telah melepasi tahap bahaya dan hebahan sudah pun dilakukan kepada penduduk di tepi Sungai Jelai.
“Kereta peronda polis bersama Jabatan Penerangan mula membuat hebahan mengenai situasi banjir supaya penduduk segera berpindah ke PPS sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE