AKPK beli baju raya 30 murid dan anak yatim

AKPK beli baju raya 30 murid dan anak yatim

KUANTAN: Tiga puluh murid prasekolah di empat sekolah daerah ini menerima sepasang baju Melayu sumbangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sempena program kongsi rezeki agensi itu.

Murid terdiri daripada keluarga B40 dan anak yatim dibawa ke gedung tekstil terkenal di bandar ini untuk memilih sendiri pakaian diminati.

Ketua Cawangan AKPK, Kuantan, Saidi Yaacob berkata, mereka terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sekilau, SK Balok, SK Cenderawasih dan SK Permatang Badak.

Menurutnya, program kongsi musim ketiga itu dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Kelab Pembantu Pengurusan Murid Pahang (KPPMP) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan.

“Program kongsi rezeki adalah antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat AKPK Kuantan dalam usaha membantu golongan B40 dan anak yatim,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD