KUANTAN: Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) yang pertama di Malaysia akan dibuka secara rasmi hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata 1.26 hektar AKSADRON dibangunkan dengan kos kira-kira RM5 juta di Tasik Paya Bungor, dikelilingi kawasan lapang dan sesuai untuk sukan dron udara.
Katanya, AKSADRON itu akan menjadi titik tolak kepada pembangunan semula Paya Bungor sebagai tarikan di Paya Besar sekaligus membuka limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar.
“AKSADRON juga akan menjadi asas kepada belia dan pelajar untuk dilatih sebagai atlet dron dengan program mekanik dron, pemasangan dan penyelenggaraan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Futurise, Kementerian Kewangan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) atas kejayaan bersama.
“Kami berbesar hati kerana Paya Besar telah dipilih untuk menempatkan pusat dron yang pertama di Malaysia dan sememangnya selaras dengan rancangan kita untuk pembangunan perbandaran Paya Besar,” katanya.
Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata demikian selepas majlis pecah tanah AKSADRON di tasik Paya Bungor, di sini semalam.
Katanya, pembangunan AKSADRON itu terdiri daripada pengurusan perlumbaan dron, pengurusan kejurulatihan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kebajikan atlet dron dan latihan intensif untuk pertandingan antarabangsa. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN