Aksi hormat veteran polis dan tentera buat Tok Wan

Aksi hormat veteran polis dan tentera buat Tok Wan

TEMERLOH: Gerakan tabik hormat dan tempur wira penuh bersemangat oleh 200 bekas polis dan tentera menyambut kedatangan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ke Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kategori Apresiasi untuk Veteran Tentera dan Polis di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di sini hari ini.

Ia sebagai tanda terima kasih veteran dua pasukan beruniform itu terhadap sumbangan dan keprihatinan Wan Rosdy serta Kerajaan Pahang yang tidak putus-putus menjaga kebajikan mereka terutama ketika pandemik COVID-19.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2  bekas polis, Ismail Mat Akil,91 di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Peragap, Temerloh. Gambar Fikrah Pahang oleh Zulkepli Osman

Menyentuh mengenai bantuan hari ini, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta sumbangan tunai kepada veteran polis dan tentera.

“Menerusi kluster yang dikenali Kluster Apresiasi ini, kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan tunai secara one-off sebanyak RM200 ringgit kepada 8,000 orang veteran tentera dan 1,000 orang bekas polis dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.8 juta ringgit. 

“Inilah antara bukti keprihatinan kerajaan Pahang yang kekal komited mengutamakan kebajikan rakyat. Atas kestabilan pentadbiran dan ditambah pula dengan kedudukan kewangan kukuh, selagi kita mampu, kita akan berterusan bantu rakyat. Kerana itulah tagline kita juga ringkas, ‘Tiada Janji Lihat Bukti’,” katanya dalam ucaptama sebelum menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Kluster Veteran Tentera dan Bekas Polis di sini, hari ini. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau Dato’ Sri Dr Haji Ismail Mohamed Said, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga  Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin.

Majlis turut dihadiri Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Tuan Mohamed Lokman Mahmud dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang, Kapt (B) Abdul Latif Mohd Nor. – HELMY ABD RAHMAN