LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan pertama Liga Super antara Sri Pahang FC dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur yang ditunda 5 Mac lalu akan dilangsungkan pada 4 Ogos depan.
Namun, MFL menerusi Facebook rasmi hari ini, memaklumkan bahawa sebarang perubahan jadual tertakluk kepada kelayakan Sri Pahang dan TFC ke perlawanan akhir Piala FA 2022 pada 6 Ogos depan.
“Sekiranya Sri Pahang atau TFC layak ke perlawanan akhir Piala FA, maka perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan akan dipinda kepada 23 Ogos,” katanya menerusi kenyataan itu.
MFL turut mengumumkan perlawanan membabitkan Selangor dan Sri Pahang yang ditunda pada 8 Mac lalu di Stadium MBPJ, akan dilangsungkan pada 29 April depan.
Pada 5 Mac lalu, jadual perlawanan yang sepatutnya diadakan di Stadium Darul Makmur antara Sri Pahang berdepan TFC terpaksa ditunda disebabkan jangkitan COVID-19.
Difahamkan, seramai 21 pemain dan pegawai Sri Pahang didapati positif hingga MFL menunda tarikh perlawanan.
Dua lagi perlawanan iaitu Sri Pahang berdepan Selangor dan Manjung City FC turut ditunda. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN