KUANTAN: Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (Al-Asar) melengkapkapi peranan muzium dalam membuat kajian, penyelidikan dan menerokai warisan kebudayaan serta sejarah tempatan, titah KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda bertitah, penubuhan pusat kajian itu bukan sekadar berperanan sebagai muzium semata-mata, bahkan boleh dijadikan sebagai pusat pendidikan dan rujukan.
“Muzium adalah institusi di bawah naungan Istana dan ia bukan hanya tarikan pelancong dan pemuliharaan barangan artifak semata-mata .
“Sebagai pusat kebudayaan dan kesenian, penubuhan pusat ini dapat memperkenalkan hasil seni dan kreativiti anak tempatan.
“Malah, hasil seni dan kreativiti ini berpaksikan kepada ilmu dan kemahiran yang dimiliki berdasarkan pengalaman mereka yang luas dan mendalam.
“Oleh itu, pusat kajian ini semestinya akan memperkenalkan aspek terbabit termasuk seni tenunan tekstil dan kemahiran memasak,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Persidangan Diraja Dan Pemeteraian Kerjasama Muzium Pahang di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Pahang, Dato’ Khairuddin Mahmud. – HUSIN IBRAHIM