PESILAT negara, Al-Jufferi Jamari membuktikan kehebatan apabila muncul juara dunia Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Melaka, malam tadi.
Lebih manis, anak kelahiran Pahang itu merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat selepas menewaskan Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia 35-21, pada aksi final Kelas F Putera.
Kejayaan itu mendapat reaksi YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Al-Jufferi.
“Semangat perjuangan Mat Kilau yang terbangkit di seluruh negara sejak akhir-akhir ini diterjemahkan Al-Jufferi dengan kejuaraan dunia keempat pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022.
“Al-Jufferi meletakkan namanya sebagai antara pesilat terbaik dunia sepanjang zaman selepas memenangi kejohanan di peringkat dunia buat kali keempat,” kata Wan Rosdy menerusi Facebook, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN