Al-Jufferi tetap pendekar, kata Tok Wan

Al-Jufferi tetap pendekar, kata Tok Wan

BIARPUN Mohd Al-Jufferi Jamari gagal ke final kelas F dalam acara silat tanding di Sukan Sea Hanoi, semangat juang tinggi dipersembahkan pesilat silat negara itu tetap mendapat perhatian YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy bangga dengan sikap tidak berputus asa Mohd Al-Jufferi terutama ketika aksi suku akhir ketika berdepan pencabar dari Indonesia, Iqbal Candra Pratama.

Katanya, biarpun dibelenggu kecederaan bahu, Al-Jufferi  tidak mudah menyerah kalah yang membantu pesilat dari Pahang itu layak ke separuh akhir.

“Tewas pada separuh akhir kerana terpaksa beraksi dalam kesakitan dan masih dibelenggu kecederaan bahu adalah sifat pendekar.

“Sifat pendekar itu membuatkan ramai rakyat Malaysia terharu dan saya yakin akan mampu menyuntik semangat baru kepada atlet lain untuk mencapai kejayaan yang cemerlang demi Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Wan Rosdy mengucapkan tahniah atas semangat kesukanan tinggi yang dipersembahkan Mohd Al-Jufferi dan meneruskan perjuangan untuk negara.

“Bukan sahaja mampu melahirkan ramai jaguh silat dunia seperti Al-Jufferi tetapi juga jika dinilai dari sejarah, Pahang cukup terkenal dengan perjuangan Tokoh Pahlawan Terbilang seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Dato Bahaman dan Mat Lela yang tidak pernah gentar menentang penjajah,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN