KUANTAN: “Saya percaya al-Quran adalah kunci kepada kecerdasan fikiran,” kata Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki, 16, pelajar tingkatan empat Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini.
Nik Hadif menerima Anugerah Kokurikulum dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan Al-Quran MTNP 2021 hari ini, selepas muncul pendebat terbaik dalam Kejohanan Debat Sekolah Antarabangsa Musleh (MISDC) 2021.
Katanya, dia membuat persediaan rapi selama lebih sebulan sebelum menyertai pertandingan secara maya itu.
“Saya berlatih setiap malam mulai Isyak sehingga tengah malam sekiranya tiada kelas keesokan hari dan paling tidak dua jam sehari sehinggalah hari pertandingan,” kata anak kedua daripada dua beradik itu.
Ditanya rahsia kejayaannya, Nik Hadif yang bercita-cita menjadi doktor pakar kanak-kanak berkata, selain latihan setiap hari, dia mengamalkan pemakanan dan minuman sunah seperti kismis, kurma dan susu.
“Tapi rahsia terbesar tentulah hafalan al-Quran dan saya percaya menjadi kunci kepada kecerdasan fikiran. Memang saya dapat rasakan lebih mudah untuk menghafal, berkomunikasi dan fokus selepas menjadi hufaz,” katanya yang khatam al-Quran sejak tingkatan dua.
Majlis berkenaan disempurnakan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi, YAB Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. – HELMY ABD RAHMAN