Al-Sultan Abdullah gusar, minta rakyat istiqamah, patuh SOP

Al-Sultan Abdullah gusar, minta rakyat istiqamah, patuh SOP

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran terhadap penularan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron.

Baginda menzahirkan kebimbangan susulan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan Omicron lebih berbahaya dan cepat merebak berbanding varian terdahulu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, baginda menasihati seluruh rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri, berdisiplin dan patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Baginda menyeru rakyat sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam menjalankan aktiviti harian dengan norma baharu bagi memastikan penularan wabak Covid-19, khususnya varian Omicron, dapat dibendung walaupun tiada kes varian baharu ini dilaporkan di Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, baginda turut menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin Covid-19, mendapatkan dos penggalak, memelihara kesihatan dan keselamatan diri, ahli keluarga tersayang serta masyarakat.

Katanya, baginda juga menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif.

“Baginda berpandangan bahawa segala pengorbanan dan usaha kita bersama pihak berkuasa serta petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi Covid-19 akan menjadi sia-sia jika negara menghadapi ancaman gelombang baharu.

“Sehubungan itu, baginda menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mempertingkatkan langkah pencegahan, kawalan sempadan dan pengawasan Covid-19 bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, terutama dari negara yang melaporkan kes Covid-19 varian Omicron

“Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN