PEKAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan mencemar duli melawat rumah yang dibina baharu dan dibaik pulih dekat Istana Sultan Abu Bakar, di sini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Ahmad Hairi Hussain, pada 10.45 pagi.
Baginda turut berkenaan berangkat dan meluangkan masa bersama pemilik rumah di Kampong Permatang Pauh, Kampung Parit Engku Dato’ dan Kampung Padang Polo di samping menyampaikan sumbangan peribadinya.
Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang turut diberikan taklimat ringkas kontraktor yang menjalankan kerja membaiki dan membina rumah berkenaan.
Kontraktor Shaik Ahmad Sufian Shaik Kamal Farid berkata, lawatan Al Sultan Abdullah itu itu membabitkan penyerahan empat rumah yang dibaiki di samping sebuah rumah yang dibina baharu.
Shaik Ahmad Sufian berkata, daripada 38 rumah yang perlu diperbaiki dan dibina baru dalam program tanggungjawab korporat itu, hanya lima kediaman sudah siap dan diserahkan kepada pemiliknya.
“Semua rumah yang terbabit dalam program ini kebanyakannya uzur dan rosak teruk di bumbung dan lantai. Oleh itu, kami baiki dan cat semula rumah mereka,” katanya. – HUSIN IBRAHIM