DYMM Yang di-Pertuan Agong diiringi Raja Permaisuri Agong dan DYTM Pemangku Raja Pahang
PEKAN: Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menziarahi pusara Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah di Makam Diraja Pekan, Pahang, hari ini.
Menurut laman sosial Facebook rasmi Istana Negara, berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Sultan Pahang kelima, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur jam 8.50 pagi, 22 Mei 2019 pada usia 88 tahun.
Sultan Ahmad Shah menyerahkan takhta kepada Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu.
Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dan merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.
Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974.