BENTONG: Kira-kira 30,000 tan sisa banjir daripada rumah penduduk terjejas sudah dikutip oleh Alam Flora Sdn Bhd di seluruh Pahang membabitkan lapan Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT), sehingga 19 Januari tahun ini.
Pengurus Besar Operasi Alam Flora, Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim berkata,
1,300 pekerja dan 400 jentera termasuk kakitangan luar Pahang terbabit melakukan kerja pembersihan itu.
“Bentong dan Temerloh adalah kawasan paling teruk terjejas. Sebagian besar penduduk di taman perumahan kehilangan keseluruhan harta benda mereka,” katanya.
Beliau berkata, kerja fasa satu di Lipis, Bera, Pekan, Maran, Jerantut dan Kuantan siap lebih awal dan penduduk boleh memasuki ke rumah sejak dua atau tiga minggu lalu.
Raja Kamal Azizol berkata, pada masa ini kerja pembersihan memasuki fasa kedua iaitu membersihkan tanah lumpur yang mendap dalam longkang di kawasan perumahan.
“Kerja ini memberi tumpuan di Bentong dan Temerloh kerana membabitkan banyak kawasan perumahan dengan menggunakan 55 jentera dan 150 pekerja.
“Kerja membuang tanah lumpur setebal kira-kira 60 centimeter dalam longkang yang kecil agak sukar dilakukan menggunakan tenaga apatah lagi ia semakin mengering dan mula berbau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan kerja pembersihan longkang berlumpur di kawasan perumahan di Taman Wijaya, Karak dan Kampung Chegar Medang, Bentong.
Raja Kamal Azizol berkata, kira-kira 30 peratus longkang di kawasan perumahan yang terjejas banjir di kedua daerah itu dibersihkan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Januari ini. – MUHAMMAD NAJMIE