Alat bantuan pernafasan buat adik Mohd Hisyamuddin

Alat bantuan pernafasan buat adik Mohd Hisyamuddin

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 873 asnaf yang mengalami masalah kesihatan di Pahang menerima bantuan rawatan termasuk peralatan perubatan kira-kira RM1.8 juta, sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, mereka adalah penghidap pelbagai jenis penyakit kronik. 

Katanya, antara peralatan perubatan yang disumbangkan adalah kerusi roda, alat bantuan pernafasan, tilam dan katil, anggota palsu dan duit kes tertentu.

“Kita sentiasa berusaha menyediakan peralatan perubatan secepat mungkin kepada penerima iaitu dalam di antara satu dan tiga hari bergantung kepada likasi kediaman pemohon dan bekalan peralatan yang diperlukan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan alat bantuan pernafasan kepada Mohd Hisyamuddin Mohd Asri, 7, di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, di sini, semalam.

Dr Asmadi berkata, kanak-kanak itu menghidap penyakit berkaitan paru-paru sejak kecil dan alat bantuan pernafasan miliknya rosak akibat banjir, akhir tahun lalu.- MOHD IMRAN IZZAD.