MARAN: Sekurang-kurangnya 942 murid sekolah rendah menerima biasiswa Yayasan Pahang membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit dan Kuala Sentul, di sini.
Majlis penyerahan biasiswa kepada 493 murid di DUN Kuala Sentul itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, hari ini, manakala 449 murid di DUN Luit menerimanya, semalam.
Menurut Shahaniza, sumbangan itu sangat bermanfaat dalam meringankan beban ibu bapa bagi menghadapi musim persekolahan khususnya ketika berdepan penularan wabak pandemik Covid-19.
“Moga ia dapat memberi manfaat kepada mereka serta memudahkan urusan pembelajaran anak-anak.
“Terima kasih YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan ismail, Kerajaan Pahang dan Yayasan Pahang atas keprihatinan ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN