Alhamdulillah, baru sedap sikit nak nyambut raya

Alhamdulillah, baru sedap sikit nak nyambut raya

KUANTAN: Berita baik buat 81 guru agama di lapan sekolah rendah agama rakyat dan empat sekolah menengah agama rakyat di negeri ini apabila Kerajaan Pahang bersetuju memberikan sumbangan tunai Aidilfitri kepada mereka.

Perkara ini dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menerusi satuhantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, menerusi ketetapan dicapai dalam mesyuarat EXCO hari ini, setiap guru akan menerima sumbangan Aidilfitri sebanyak RM700 seorang. 

“Sekolah menengah agama rakyat terbabit ialah Madrasah Darul Makmur, Ganchong, Pekan; Madrasah Darul Naim, Kuala Krau, Temerloh; Madrasah Ihyail Maarif, Ulu Cheka, Jerantut dan Madrasah At-taufiqiah Al-Asriah,Tanjung Besar, Kuala Lipis.

“Sekolah agama rakyat rendah pula, Madrasah Arabiah Islamiah, Sungai Ling, Temerloh; Madrasah Arabiah Islamiah, Paya Pasir, Temerloh; Madrasah Mahmudiah, Kertau, Chenor; Madrasah Addiniah, Pangsenam, Temerloh; Madrasah Al-Falah Islamiah, LKTP Kampung Awah, Temerloh; Sekolah Agama Majlis Attarbiah, Kerdau, Temerloh; Madrasah Al-Asriah Islamiah, Karak Setia, Bentong dan Madrasah Al-Taufiqiah, Jerantut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat EXCO hari ini juga memutuskan untuk memberi sumbangan Aidilfitri kepada 221 petugas Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS)dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM263,700.

“Sumbangan ini akan diagihkan Jumaat ini di Dewan Yayasan Pahang dalam satu majlis yang disempurnakan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail. 

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak mampu membantu dalam ibadah Ramadan tahun ini serta sambutan Aidilfitri yang bakal berkunjung lagi diberkati Allah SWT,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN