Alhamdulillah, bertambah rezeki JPKK di Pahang

Alhamdulillah, bertambah rezeki JPKK di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju menaikkan elaun bulanan bagi 543 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini, daripada RM500 kepada RM750,

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini.

Beliau berkata, kenaikan sebanyak RM250 atau 50 peratus itu berkuatkuasa 1 Jun lalu.

“Nilai kenaikan ini ditanggung Kerajaan Negeri terlebih dahulu sehinggalah kelulusan mengenainya diperoleh daripada agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Dengan kenaikan ini diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan mereka, seterusnya menjadi pendorong untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan lebih berkesan lagi, Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

Pada mesyuarat sama, beliau berkata, kelulusan diberikan kepada cadangan mewujudkan tiga lagi JPKK di negeri ini iaitu bagi Kampung Seri Sedia, Ringlet dan Kampung Raja di Cameron Highlands. 

“Sementara menunggu kelulusan kewangan dan penubuhannya oleh KPLB, kos bagi pengendalian ketiga-tiga JPKK ini juga ditangung dahulu Kerajaan Negeri. 

“Menerusi kewujudan JPKK baharu ini diharap perkhidmatan kemasyarakatan yang lebih padu dan berkesan dapat diberikan demi manfaat penduduk di semua kawasan terbabit,” katanya.