Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Penggiat sektor pelancongan di Pulai Tioman kini sudah mula menarik nafas lega apabila pelancong sudah mula berkunjung ke pulau peranginan itu walaupun masih perlahan.
Ketua Kampung Juara, Razib Ali Awang berkata, beliau bersyukur apabila pelancong sudah mula datang ke Pulau Tioman menerusi jeti Tanjung Gemok, Rompin dan Mersing, Johor, setiap hari.
Katanya, pembukaan gelembung pelancongan sudah lama ditunggu oleh penggiat sektor pelancongan di Pulau Tioman yang suram hampir dua tahun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, semua penggiat sektor pelancongan di Pulau Tioman kini sudah bersedia dan bersemangat dan semakin rancak melakukan promosi.
“Penggiat pelancongan memberitahu saya bahawa mereka sudah banyak menerima tempahan sepanjang Oktober dan November. Saya jangka jumlah itu akan meningkat secara berperingkat,” katanya.
Penggiat pelancongan, Shahrolhazri Sani berkata, promosi kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya kerana perlu mengingatkan pelancongan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19.