KUANTAN: Penduduk Sungai Lembing, dekat sini, tidak perlu lagi bimbang kerana kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pekan itu sudah boleh digunakan secara rasminya, hari ini.
“Akhirnya, buat kali pertama dalam beberapa tahun, penantian penduduk Sungai Lembing berakhir apabila mesin ATM dah dapat digunakan. Alhamdulillah,” kata Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I meminta semua pihak menjaga kemudahan itu untuk kebaikan bersama.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan semua pihak yang turut bekerjasama untuk menyediakan kemudahan mesin ATM untuk penduduk di Sungai Lembing.
“Terima kasih tidak terhingga juga saya ucapkan kepada Balai Polis Sungai Lembing yang menyediakan tempat untuk kita pasang mesin ATM ini,” katanya.. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN