Alhamdulillah, dah ramai mangsa banjir balik rumah

Alhamdulillah, dah ramai mangsa banjir balik rumah

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 7,730 mangsa banjir daripada 2,301 keluarga masih berada di 72 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di Pahang, pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan ketara berbanding semalam, 11,243 mangsa daripada 3,683 keluarga di 80 PPS.

Menurutnya, Temerloh merekodkan 3,302 mangsa diikuti Bentong (1,518), Pekan (1,802), Maran (589), Bera (32) dan Kuantan (487).

“Sepuluh jalan ditutup membabitkan lapan daerah di negeri ini iaitu Jalan Kuantan-Segamat dan Jalan Pelak-Belimbing di Pekan; Jalan Southern Loop, Bentong dan Jalan Kuala Lipis- Jerantut, Jerantut.

“Jalan lain yang turut ditutup ialah Jalan Kuala Lumpur– Kuantan, Maran; Jalan Ulu Dong, Raub; Jalan Temerloh–Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok di Temerloh; Jalan Sungai Lembing, Kuantan dan Jalan Bentong- Gua Musang, Lipis,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN