KUANTAN: Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah bersyukur kerana misi menghantar bantuan pek makanan kepada mangsa banjir di Bukit Kuin, di sini, berjaya dilaksanakan, hari ini.
Mohd Shahar berkata, percubaan untuk menghantar bantuan pek makanan gagal kerana air naik dan menghalang perjalanan beliau dan pasukan YBS, semalam.
“Hari ini air surut. Saya, mengambil peluang untuk menghantar bantuan pek makanan di Balai Raya Bukit Kuin 1.
“Alhamdulillah, semua mangsa banjir di Bukit Kuin sudah menerima bantuan pek makanan tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya mohon maaf sekiranya bantuan lambat sedikit kerana ada perkara yang tidak boleh dielak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I memanfaatkan peluang dan kudrat yang ada untuk membantu seramai mungkin mangsa banjir di Parlimen Paya Besar.