Alhamdulillah, doa penduduk dimakbulkan

Alhamdulillah, doa penduduk dimakbulkan

BENTONG: Dalam kejadian banjir akhir tahun lalu, seluruh penduduk Kampung Karak Setia, Karak di sini, berduka apabila masjid di kampung berkenaan terjejas teruk akibat banjir.

Boleh dikatakan semua yang melihat pasti menggelengkan kepala apabila hampir setiap inci Masjid Kampung Karak Setia diselubungi lumpur akibat banjir puing yang berlaku 18 Disember tahun lalu dan rata-rata penduduk kampung berdoa supaya masjid itu dipulihkan segera selepas mengalami kerosakan dahsyat dengan anggaran kerugian lebih RM300,000.

Namun tidak lama kemudian, keadaannya berbeza apabila pelbagai bantuan tiba dalam pelbagai bentuk untuk memulihkan masjid itu yang paling teruk terjejas di negeri ini dalam kejadian banjir terbabit.

Terbaru, bantuan sebanyak RM80,000 disalurkan kerajaan negeri untuk membolehkan masjid berkenaan beroperasi seperti biasa.      

“Alhamdulillah, doa kami penduduk kampung dimakbulkan Allah apabila bantuan tidak putus-putus datang.Kalau nak dihitung, hampir 1,000 orang datang membantu membersihkan masjid ini yang dipenuhi lumpur selepas banjir. 

“Ada yang datang berkampung berhari-hari, ada yang memberikan bantuan kewangan untuk membeli peralatan dan keperluan masjid seperti sistem PA (pembesar suara) dan permaidani.

“Bantuan tak putus-putus datang dan hari ini, dapat pula bantuan kewangan daripada kerajaan negeri yang sememangnya kita ketahui, amat prihatin membantu mangsa banjir termasuk membabitkan masjid dan surau di negeri ini,” kata Pengerusi Masjid Karak Setia, Zainal Abidin Johar selepas majlis penyerahan bantuan banjir oleh kerajaan negeri kepada masjid dan surau terjejas banjir di daerah ini.

Bantuan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Penyelaras DUN Sabai dan Ketari, Dato’ Sri Mohamad Zaini Salleh serta Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali.   

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, majlis semalam membabitkan penyerahan replika cek bantuan pasca banjir kepada 13 masjid dan surau yang terjejas di daerah ini.

“Masjid terbabit ialah Masjid Kampung Karak Setia, Masjid PAKR (Perumahan Awam Kos Rendah) Bukit Piatu, Surau Sungai Marong, Surau Kampung Benus, Surau Taman Seroja, Surau Taman Muhibbah, Surau Kampung Chemperoh Janda Baik, Surau Rumah Murah Kampung Teroh, Surau Benus Jaya, Surau Taman Wijaya Karak, Surau Taman Chegar Medang, Surau Taman Harmoni dan Surau Pejabat Agama Islam Daerah Bentong.

“Jumlah bantuan keseluruhan untuk semua masjid dan surau di daerah ini ialah sebanyak RM289,000,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN