Alhamdulillah, jumlah mangsa banjir semakin kurang

Alhamdulillah, jumlah mangsa banjir semakin kurang

KUANTAN: Mangsa banjir kini hanya berbaki 11,243 daripada 3,683 keluarga dan mereka semua berada di 80 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di negeri ini sehingga 4 petang, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata jumlah itu menurun berbanding 12,005 mangsa daripada 3,789 keluarga di 89 PPS pada 8 pagi, hari ini.

Katanya, Temerloh merekodkan mangsa banjir paling ramai iaitu 4,806 orang, diikuti Bentong (2,980 orang), Pekan (1,805 orang), Maran (660 orang), Bera (505 orang) dan Kuantan (487 orang).

“Sembilan jalan masih ditutup membabitkan lapan daerah di negeri ini iaitu Jalan Kuantan-Segamat, Pekan; Jalan Southern Loop, Bentong dan Jalan Kuala Lipis- Jerantut, Jerantut.

“Jalan lain yang turut ditutup ialah Jalan Kuala Lumpur– Kuantan, Maran; Jalan Ulu Dong, Raub; Jalan Temerloh–Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok di Temerloh; Jalan Sungai Lembing, Kuantan dan Jalan Bentong- Gua Musang, Lipis,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 20 kematian akibat banjir kekal direkodkan di Pahang, termasuk 11 di Bentong, Temerloh (empat), masing-masing dua di Kuantan dan Raub serta satu lagi di Pekan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN