KUANTAN: Sebanyak 12,162 perkahwinan pasangan suami isteri Islam didaftarkan di 14 Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri ini sepanjang 2021, meningkat berbanding 11,588 bagi tempoh sama, tahun sebelumnya.
Bagi kes perceraian pula, sebanyak 2,189 kes didaftarkan pada 2021, menurun berbanding 2,948 kes tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata sehingga 30 Jun tahun ini, sebanyak 7,072 perkahwinan didaftarkan.
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,777 kes perceraian didaftarkan di 14 PAID di seluruh Pahang.
“Daripada semua kes perceraian didaftarkan isejak 2020, seramai 919 pasangan memohon untuk rujuk semula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Kursus Pra-Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang di Dewan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.
Hadir sama, Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman; Pengarah JAIP, Dato’ Dr Zulkifle Ali dan Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos. – HELMY ABD RAHMAN
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, sebanyak 55,667 kebenaran perkahwinan dikeluarkan di negeri ini dan 30,882 pasangan sudah mendaftarkan perkahwinan mereka sejak 1 Januari 2020 hingga 30 Jun tahun ini.