LIPIS: Kerajaan Pahang akan menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 bermula bulan ini hingga Julai depan membabitkan peruntukan hampir RM30 juta.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bantuan itu bakal diagihkan kepada hampir 297,013 penerima yang membabitkan empat kluster utama iaitu pelajar dan anak muda; golongan B40, kluster umum dan kluster apresiasi.
Katanya, kumpulan di bawah kluster pelajar dan anak muda ialah murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, pelajar tahfiz, penuntut universiti dan politeknik, anak muda 18 hingga 21 tahun dan anak muda yang berniaga.

“Kumpulan di bawah kluster golongan B40 adalah anak yatim, ibu tunggal, gelandangan, nelayan dan pemandu teksi.
“Kumpulan di bawah kluster umum adalah kampung tradisi, peneroka, Orang Asli, penjaja harian dan pengusaha bot serta pemandu pelancong, manakala kumpulan di bawah kluster apresiasi pula adalah veteran tentera dan polis,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, pemberian BPP 2022 dapat dilaksanakan berdasarkan keupayaan kedudukan kewangan kerajaan negeri yang kukuh pada masa ini.
“Seperti yang saya sering nyatakan, setiap hasil diperoleh kerajaan negeri akan dipulangkan semula kepada rakyat agar kita semua dapat berkongsi rezeki demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
“Saya percaya sekiranya sasaran hasil RM1 bilion pada tahun ini tercapai, tidak mustahil kerajaan negeri berupaya meneruskan lagi bukan sahaja BPP tetapi juga bantuan lain untuk rakyat di negeri ini,” tambahnya.
Sehingga akhir tahun lalu, Kerajaan Pahang membelanjakan sebanyak RM75.03 juta bagi tujuan perbelanjaan pengurusan dan operasi mencegah penularan COVID-19.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM31.3 juta diagihkan melalui pakej BPP yang dilaksanakan melalui empat fasa khusus kepada golongan sasaran. – HELMY ABD RAHMAN