Alhamdulillah… Kerajaan Pahang terbaik di Malaysia

Alhamdulillah… Kerajaan Pahang terbaik di Malaysia

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.m

KUANTAN: “Sekarang ini, 50 ringgit pun amat berharga, apatah lagi RM500. Dalam soal kebajikan rakyat, berani saya katakan, Kerajaan Pahang adalah kerajaan terbaik di Malaysia. Alhamdulillah,” kata Husin Mohamed, 53, dari Kampung Teluk Mahang, Jalan Gambang, di sini.

Husin berkata demikian ketika mengulas pengumuman Kerajaan Pahang yang bersetuju memberi sumbangan tunai RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta rumah saudara-mara, susulan terkesan musibah banjir, Januari lalu.

Menurut Husin, kejadian banjir kali ini menyebabkan dia sekeluarga kerugian kira-kira RM2,000 apabila banyak barangan elektrik dan perabot tidak dapat diselamatkan.

Husin Mohamed bersama isteri, Norzainifah M Rezali, 48.

“Air naik cepat sangat, tak sampai 45 minit. Tahu-tahu saja dah dekat paras pinggang. Apapun, saya lebih pentingkan keselamatan keluarga dan tidak kisah sangat tinggal tiga hari di PPS di Dewan Mat Kilau Batu 5.

“Ini kali ketiga kami berdepan bencana banjir selepas 2013 dan 2018,” kata bapa kepada empat anak berusia 18 hingga 26 tahun itu.

Husin adalah antara 18,726 KIR yang layak menerima sumbangan tunai RM500 seperti diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, semalam.

Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM9.4 juta bagi tujuan berkenaan dan keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan beliau pagi semalam.