BERA: Tiada lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara selepas ini.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebaliknya, PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan secara bersasar seandainya terdapat peningkatan kes di mana-mana tempat.
Beliau juga memberikan jaminan, tiada lagi sekatan untuk rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
“Kita tidak akan melaksanakan PKP seluruh negara, negeri mahupun daerah, melainkan kawasan tertentu sahaja yang dikenakan PKPD sekiranya berlaku peningkatan kes (COVID-19).
“Tiada lagi sekatan ekonomi dan sektor-sektor ekonomi dapat berjalan seperti biasa kecuali tempat yang dikenakan PKPD,” katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Bera, di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat desas-desus kononnya akan ada penutupan ekonomi dan rakyat tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri tahun ini kerana penularan COVID-19.
Menyentuh peningkatan kes jangkitan harian sehingga melebihi 4,000 kes, beliau berkata kerajaan memandang serius mengenainya dan akan terus mengawal supaya jumlahnya menurun.
“Kita akan kawal sehingga ke tahap negara ini boleh diisytiharkan bebas pandemik dan hanya sebagai endemik. Jika jumlah terus meningkat, apa yang membimbangkan ialah tidak cukup tempat merawat pesakit .
“Kerana itu kita kena kawal supaya angkanya tidak meningkat. Kita tidak mahu jadi seperti Amerika Syarikat (AS) United Kingdom (UK) dan Perancis yang berdepan peningkatan kes saban hari,” katanya.
Terdahulu Ismail Sabri sempat melakukan lawatan ke kampung dilanda banjir di daerah ini antaranya Kampung Guai, Charuk Puting dan Batu Bor. – HUSIN IBRAHIM