KUANTAN: Hanya 11 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka yang kini menempatkan 486 mangsa banjir daripada 140 keluarga sehingga 12 tengah hari ini.
Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan, jumlah itu membabitkan mangsa banjir di Pekan dan Rompin.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 782 mangsa banjir daripada 218 keluarga di 22 PPS, semalam.
Sementara itu, berdasarkan maklumat Portal Public InfoBanjir kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai di Pahang merekodkan bacaan melepasi paras waspada.
Antaranya adalah Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi Bentong dan Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN