Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Dua puluh pelajar di Parlimen Paya Besar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menerima sumbangan komputer riba dan mesin pencetak.
Sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah, di perkarangan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, di sini, hari ini.
Bagi Nurul Anida Zolkupli, 21 yang berjaya melanjutkan pengajian di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Semambu, di sini, dia bersyukur dengan sumbangan diterima yang akan menjadi pendorong kepadanya untuk berjaya dalam pelajaran.
“Saya tidak menyangka permohonan mendapat komputer riba dan mesin pencetak diluluskan tanpa perlu mengambil masa yang panjang.
“Bantuan yang diterima ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan pelajar yang berjaya melanjutkan IPT,” kata anak kedua daripada lapan beradik itu.
Sementara itu, Md Sohaimi berkata, bantuan komputer riba dan mesin pencetak sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan remaja yang berjaya ke menara gading.
“Bantuan berkenaan turut diberikan kepada beberapa pelajar Orang Asli Kampung Sungai Mas yang menyambung pengajian mereka ke Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),” katanya.