LIPIS: Dua penerima rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Peruang dan Ulu Teris bersyukur apabila kediaman baharu itu hadir ketika umat Islam sedang menanti 1 Syawal.
Penduduk Kampung Peruang, Mazlan Hassan, 47, berkata rumah itu amat selesa buat keluarganya.
“Saya bersyukur mendapat kediaman ini selepas rumah saya terbakar, hujung tahun lalu. Ia ibarat hadiah untuk menyambut Aidilfitri nanti,” katanya selepas menerima kunci rumah daripada Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad.
Ibu tunggal dari kampung Ulu Teris, Rogayah Mat Zin, 50, pula berkata rumah itu adalah rezeki Ramadan.
“Sebelum ini, saya bersama empat anak saya menumpang di rumah keluarga mentua selepas suami meninggal dunia pada 2016.
“Syukur amat sangat kerana penantian lebih enam tahun berakhir. Rumah PPRT ini cukup selesa kami sekeluarga,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE