Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Berita baik kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) serta timbalan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) apabila kerajaan negeri bersetuju menaikkan jumlah bantuan tunai ‘one-off’ kepada RM1,000 kepada mereka pada tahun ini.
Ketika mengumumkannya, Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) itu adalah tambahan RM750 kepada pengumuman asal sebanyak RM250 seorang yang dibentangkan pada Belanjawan Pahang 2021 pada 16 November tahun lalu.
Katanya, pembayaran akan dilakukan mulai minggu depan, membabitkan 675 penerima terdiri daripada 543 pengerusi JKKK, pengerusi JKKB (62 orang) dan timbalan pengerusi JKKR (70 orang).
“Pembayaran ini membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM675,000 dan akan dilaksanakan minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap setiap penerima dapat terus meningkatkan khidmat bakti dengan lebih berkesan demi kemajuan dan kemakmuran kampung atau rancangan tanah yang diwakili mereka.