Alhamdulillah, ringan sikit beban aokme yek

Alhamdulillah, ringan sikit beban aokme yek

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar oleh Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan Pahang hari ini melunaskan janjinya untuk membantu seluruh guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) menerusi Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang 2021 membabitkan 221 penerima.

Pada majlis diadakan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) itu, Kerajaan Pahang turut menyempurnakan Inisiatif Pemberian Jubah kepada 70 penerima terdiri daripada imam dan pegawai masjid sekitar daerah ini.

Sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda yang mewakili Kerajaan Pahang.

KUANTAN 09 NOVEMBER 2021. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Peruntukan Khas Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Tahun 2021 Seluruh Negeri Pahang di KUIPSAS. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

“Sumbangan hari ini adalah penamat bagi program Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Inisiatif Pemberian Jubah bagi 2021 di negeri ini.

“Kerajaan Pahang memperuntukkan lebih RM1 juta untuk menjayakan sumbangan ini untuk meringankan beban guru Kafa yang terjejas pendapatan akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Untuk hari ini sahaja, kita membelanjakan lebih RM75,000,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas menyempurnakan majlis berkenaan di Kuipsas di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Zakaria Mohamed; Kadi Kuantan, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah dan Kadi Kuantan Barat, Badaruddin Ahmad Bustami.