Alhamdulillah, RM1.4 juta dah diagihkan kepada 907 keluarga yang terjejas banjir di Pekan

Alhamdulillah, RM1.4 juta dah diagihkan kepada 907 keluarga yang terjejas banjir di Pekan

PEKAN: Kira-kira RM1.4 juta bantuan bantuan wang ihsan (WIB) daripada Kerajaan Pahang dan Kerajaan Pusat sudah diagihkan kepada 907 keluarga di daerah ini.

Bantuan itu membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bebar iaitu 214 keluarga, DUN Pulau Manis (206 keluarga), DUN Peramu Jaya (324 keluarga) dan DUN Chini (111 keluarga).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata bantuan itu untuk meringankan beban mangsa banjir di Pekan, tidak termasuk satu keluarga di Chini yang menerima sumbangan bantuan kematian.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak khususnya Kerajaan Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kerana meluluskan peruntukan tambahan bagi mangsa banjir,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Mohammad Fakhruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang berkata, beliau juga bersyukur kerana banyak bantuan disumbangkan daripada pelbagai pihak.

“Begitu juga pelbagai sumbangan daripada Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Razak,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN