KUANTAN: Hutang Kerajaan Pahang kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.1 bilion, hari ini dihapus kira melalui Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail, berkata hal itu dimuktamadkan selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian itu, hari ini.
Katanya, perjanjian itu satu peristiwa besar bagi Kerajaan Pahang dan ia membolehkan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) membelanjakan sebanyak RM920.5 juta secara berperingkat bagi menyelesaikan isu berkaitan pengurusan bekalan air di negeri ini.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian Sumber Asli dan Air (KASA), Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang terdahulu iaitu Dato’ Sri Hassan Ariffin, Pengerusi PAAB ketika ini, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan semua pihak yang menjadikan perkara ini satu kenyataan.
“Dengan adanya peruntukan daripada PAAB ini akan memudahkan kita merancang kerja-kerja perbelanjaan modal (CAPEX) bagi menyediakan perkhidmatan bekalan air kepada masyarakat di negeri Pahang,” katanya, hari ini.
Perjanjian tambahan itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang mewakili Kerajaan Persekutuan; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak mewakili Kerajaan Pahang; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, perjanjian itu juga menjadikan kerja dan perancangan kerajaan negeri lebih lancar sekali gua merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang amat komited dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah air di Pahang seperti dimaklumkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, bulan lalu.
Perjanjian tambahan ini telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mewakili Kerajaan Persekutuan; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak mewakili kerajaan negeri, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari.
Ia disaksikan Wan Rosdy bersama Timbalan Menteri KASA, Dato’ Mansor Othman danPengerusi PAAB, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Dengan termeterainya perjanjian tambahan tersebut, pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang boleh dikuat kuasakan.
Perjanjian berkenaan juga membolehkan PAIP memulakan penambah baikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan loji rawatan air baharu, menaiktaraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip dan sistem agihan. – HELMY ABD RAHMAN