PEKAN: Sejumlah RM1.35 juta diperuntukkan kepada 2,665 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di kawasan Parlimen Pekan.
Setiap KIR menerima RM500 iaitu wang ihsan bencana yang merangkumi mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau rumah saudara mara dan peniaga gerai dan rumah kedai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata berdasarkan peruntukan Parlimen Pekan, ia membabitkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bebar, Pulau Manis, Peramu Jaya dan Chini.
“Lebih seribu KIR menerima bantuan itu di DUN Bebar dengan peruntukan RM512,500, diikuti 603 KIR Pulau Manis (RM301,500), 878 KIR Peramu Jaya (RM439,000) dan 141 KIR Chini (RM70,500),” katanya.
Mohammad Fakhruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, berkata sumbangan adalah sumbangan Kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan.
“Terima Kasih YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di atas segala usaha membela nasib rakyat,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN