Alhamdulillah, semua patuh SOP

Alhamdulillah, semua patuh SOP

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Sejak aktiviti merentas negeri dibenarkan Isnin lalu, belum ada kes membabitkan mereka yang belum lengkap divaksin memasuki daerah ini. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata polis juga tidak mengesan sebarang kes membabitkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sejak Pahang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) 8 Oktober lalu.

“Kita berpuas hati dengan perkembangan yang menunjukkan orang ramai patuh kepada SOP Fasa 4, PPN terutama membabitkan SOP rentas negeri.

“Sejak memasuki Fasa 4 (PPN), polis belum lagi mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui pada Operasi Khas Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP Fasa 4 PPN bagi daerah ini di Paza Tol dan RnR Gambang di sini, hari ini.

Menurutnya, polis akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP  terutama di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (RnR), plaza tol, kawasan tumpuan ramai, pusat pelancongan dan premis perniagaan.

“Untuk itu, sebanyak 14 pasukan pemantauan pematuhan SOP sedia ada terus dikekalkan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya sudah mengatur gerak penugasan pegawai dan anggota pasukan beruniform itu untuk melakukan pemantauan di lokasi-lokasi dikesal pasti di seluruh daerah ini.

“Pemeriksaan dilakukan secara rawak dengan memeriksa aplikasi MySejahtera untuk memastikan mereka dari luar yang masuk ke daerah ini sudah lengkap divaksin dan matang tempohnya.

“Pemeriksaan juga dilakukan melalui sekatan jalan bergerak atau ‘snapcheck’ bagi mengesan individu ‘degil’,” tegasnya.