Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar ihsan FB Fakhruddin Ariff
PEKAN: Surau Hidayah, Kampung Permatang Pauh di sini, menerima tujuh pendingin hawa hasil sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebar, beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan berkenaan.
“Selain pendingi hawa, surau ini juga kini mempunyai dapur dan tempat letak motor berbumbung.
“Semua sumbangan ini hasil usaha pelbagai pihak terutamanya Muip dan kerajaan negeri.
“Saya juga ingin menjunjung kasih kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang Dipertua Muip atas perkenan baginda memberi sumbangan untuk membela nasib rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang meluluskan pelbagai peruntukan untuk rakyat di kawasan Dun Bebar.
“Saya juga sempat menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Permatang Pauh, Mohamad Azmi Osman yang menderita akibat angin ahmar dan darah tinggi.
“Semoga beliau tabah berdepan dugaan dan cepat sembuh seperti sediakala,” katanya.