Alhamdulillah, warga Jengka pula terima sumbangan kerajaan negeri

Alhamdulillah, warga Jengka pula terima sumbangan kerajaan negeri

TEMERLOH: Kerajaan Pahang terus mengambil cakna soal kebajikan rakyat apabila menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM66,370 untuk warga Felda Jengka di beberapa kawasan, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata sumbangan membabitkan sembilan permohonan projek kecil dan 11 pesakitkronik.

“Alhamdulillah, permohonan ini mendapat perhatian YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) dan seterusnya diluluskan sebanyak RM66,370 untuk manfaat pemohon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Pahang dan Cek Pesakit Kronik Oleh ADUN Kerdau di Masjid Ar Rahmah Felda Jengka 25 dekat sini, malam tadi.

Sumbangan itu antara lain akan digunakan bagi membiayai aktiviti warga Jengka 23, peruntukan membuat mercu tanda baharu di komuniti Taman Jengka Impian, penyediaan bilik darjah digital pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 16, tajaan hadiah hari keluarga Kelab R25 Pahang 2021, pembelian mesin pengadun tepung (Jengka 23) serta pembelian perabot Tabika Kemas Felda Jengka 25.

Selain itu, sumbangan terbabit untuk menampung kos pembaikian tandas guru dan pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jengka 25, baik pulih Bilik Gerakan GPW Felda Jengka 25, sumbangan kepada Majlis Belia Felda Jengka 21 dan untuk 11 pesakit kronik.

Terdahulu, Syed Ibrahim sempat menyampaikan kuliah Israk Mikraj di masjid berkenaan. – FIKRAH PAHANG