KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 193 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, semakin menurun kepada 26,494 daripada 7,796 keluarga setakat jam 10.30 malam ini, berbanding 30,914 daripada 9,040 keluarga petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata sebanyak 35 PPS ditutup sejak 4 petang tadi, selepas semua mangsa pulang ke kediaman masing-masing.
Katanya, Temerloh mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 12,054 orang daripada 3,455 keluarga yang ditempatkan di 70 PPS, diikuti Kuantan seramai 4,292 orang daripada 1,154 keluarga di 30 PPS.
“Di Bentong, seramai 4,600 mangsa daripada 1,577 keluarga ditempatkan 17 PPS, Bera (2,300 mangsa/664 keluarga) di 22 PPS, Pekan (1,420 mangsa/451 keluarga) di 20 PPS dan Maran (1,394 mangsa/398 keluarga) di 27 PPS.
“Jumlah mangsa di Lipis pula seramai 201 daripada 70 keluarga di dua PPS, Jerantut (191 mangsa/18 keluarga) di empat PPS manakala Raub (42 mangsa/sembilan keluarga) di satu PPS,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhannya, sebanyak 62,753 mangsa daripada 17,392 keluarga di sembilan daerah terjejas dalam kejadian banjir kali ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 15 kes kematian dilapokan setakat ini di seluruh Pahang iaitu lapan di Bentong, masing-masing dua di Kuantan, Temerloh dan Raub serta satu lagi di Pekan. – HELMY ABD RAHMAN