Alih kubur lama untuk pembangunan

Alih kubur lama untuk pembangunan

ROMPIN: Lima kubur lama di kawasan bukit di Kampung Aur Bukit Ibam, di sini, dialihkan bagi membina jalan dan jambatan baharu untuk kemudahan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datin Shamsiah Arshad berkata, pembangunan di kawasan itu sudah lama dirancang untuk dilaksanakan.

Menurutnya, peringkat pertama projek berkenaan ialah dengan mengalih lima kubur yang berada di kawasan terbabit mengikut hukum syarak.

“Pelebaran jalan dan pembinaan jambatan baharu bakal menghubungkan Kampung Aur dengan Kampung Aur Seberang serta desa sekitarnya.

“Selama ini, penduduk hanya menggunakan laluan jambatan gantung dan perahu untuk merentas Sungai Aur. Tapi, apabila adanya jambatan konkrit nanti ia akan memudahkan urusan penduduk kampung,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, masyarakat setempat khususnya penduduk di Kampung Aur perlu memahami keadaan itu untuk kebaikan bersama. –  MOHD IMRAN IZZAD