Allah buka peluang untuk rakyat Johor pilih yang terbaik, kata Syed Ibra

Allah buka peluang untuk rakyat Johor pilih yang terbaik, kata Syed Ibra

TEMERLOH: ‘Kenakalan’ Pakatan Harapan (PH) berdusta dengan menabur janji manis sehingga mampu menawan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mula makan diri.

Ketua Penerangan Badan Pehubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata ia dapat dilihat apabila barisan pemimpin gabungan itu di Johor berpecah-belah seolah-olah kapal kehilangan nakhoda. 

Katanya, orang Johor tahu pihak mana yang membawa kepentingan umum yang mengatasi kehendak individu apatah lagi di negeri itu tercetusnya kebangkitan rakyat sehingga negara mencapai kemerdekaan.

“Cuma kelmarin (sebelum ini) mereka (rakyat Johor) termakan fitnah kumpulan manoriti yang berganding mengaburi masyarakat dengan janji manis tetapi dusta, namun akhirnya, kumpulan nakal ini bingung bagaikan kapal hilang nakhoda.

“Ada yang membawa diri kononnya membela suara orang muda bagaikan esok kita tidak tua dan orang tua tidak langsung berjasa kepada orang muda… Ada pula tercari-cari kawan, batang kayu yang paling timbul dan gagah sukar dihanyutkan arus deras supaya senang berpaut.

“Ada juga yang tersangkut… Nak ke depan, semua dah jadi lawan. Nak patah semula sukar untuk jilat semula air liur yang diludah dan ada juga yang 24 jam kerjanya mengorek salah orang, walaupun tanpa fakta. Penyelesaian dan pembelaan untuk rakyat, kosong sama sekali,” katanya di Facebook, hari ini. 

Menurutnya, apa yang berlaku sebelum ini adalah ujian dan Allah memberi peluang dan ruang untuk semua kembali kepadaNya dengan keinsafan, kebenaran, kejujuran dan kesabaran.

“Jadi kita semua jangan rasa hebat, dari mana kita dan apa latar belakang kita. Apabila Allah beri kita peluang, bukan bermakna Allah suruh kita tunjuk siapa handal dan hebat dalam kalangan kita.

“Surah Al-Ankabut memberi ingat kepada kita (maksudnya): Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang berdusta,” katanya.

Tambahnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan membuka ruang untuk masyarakat di negeri itu memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas membela rakyat.

“Adakah masih lagi kita ingin memfitnah rumah teduh yang pernah kita bina bersama-sama, atau atas dasar orang muda ramaja dengan model serta cara baru, seterusnya tolak 100 peratus asal usul kita. 

“Kita yakin orang Johor letih dengan karenah bodoh itu semua. Mereka ingin menapak kembali seperti rakan di Melaka yang berjaya menobatkan suara rakyat bersama Barisan Nasional (BN). Mereka ingin kedamaian, kebenaran, pembangunan, perpaduan dan kejujuran yang hakiki.

“Rakyat ni bukan orang tua sahaja, bukan muda sahaja, bukan lebai sahaja, bukan elit sahaja, bukan orang Cina, Melayu dan India sahaja tetapi mereka semua rakyat, termasuklah orang miskin, orang kampung, orang lemah, orang belajar, oang sakit, orang bandar atau orang kampung,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN