Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Mustaffa Kamal
KUANTAN: Anak syarikat kerajaan negeri (GLC) menyumbang sebanyak RM52 juta kepada Kerajaan Pahang tahun ini, meningkat sekali ganda berbanding lebih RM20 juta tahun lalu.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata catatan memberangsangkan itu dicapai selepas kerajaan negeri mempraktikkan amalan tadbir urus yang telus dan lebih berintegriti.
“Pada 2019, GLC milik kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM19 juta kepada kerajaan dan jumlahnya meningkat kepada lebih RM20 juta tahun lalu.
“Tahun ini, sebanyak RM52 juta disumbangkan kepada kita oleh GLC… maknanya boleh dikatakan cemerlang, tapi jangan pula berada dalam zon selesa,” katanya.
Beiau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 Peringkat Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, antara langkah yang sudah diambil kerajaan negeri ialah melakukan audit forensik ke atas satu GLC yang dikesan terbabit dalam salah laku membabitkan tadbir urus hingga mengalami kerugian puluhan juta ringgit.
“Ada satu GLC yang saya terpaksa arahkan audit forensik selepas mendapati aktiviti berjalan, perniagaan berjalan tetapi (merekodkan) kerugian berpuluh-puluh juta.
“Saya merasakan seolah-olah ada (benda) tidak betullah dan apabila kita mengadakan audit forensik, kesannya kita dapat tahu dan mereka pun (pihak pengurusan GLC terbabit) ada yang meletakkan jawatan serta-merta, kita tidak mahu perkara seperti ini terus berlaku sebab yang ruginya kerajaan negeri,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, hanya satu GLC dikesan terbabit dalam salah laku dan secara keseluruhannya, semua anak syarikat kerajaan negeri diuruskan dengan baik dan terkawal.
“Kadar ketirisan perolehan dan isu membabitkan tadbir urus kerajaan Pahang sudah dapat diatasi secara konsisten sejak saya memegang jawatan Menteri Besar.
“Ketika saya dilantik sebagai Menteri Besar pada 2018, kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil lebih RM600 juta dan tahun 2019 pula sebanyak RM700 juta dikutip,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang yakin mampu merekodkan perolehan sebanyak RM1 bilion tahun hadapan.
“Peningkatan hasil (kutipan) tahun lalu berjumlah RM800 juta dan saya sudah maklumkan kepada Dato’ SS (Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak), sasarkan (kutipan hasil) tahun hadapan ialah RM1 bilion dan apabila jumlah kutipan ini meningkat, yang dapat manfaat ialah rakyat, kita akan kembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan,” jelasnya.