Helmy Abd Rahman
helmy@fikrah.com.my
Gambar Mustaffa Kamal
KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu semua wakil rakyat berubah kepada politik lebih matang, jujur dan ikhlas.
Sehubungan itu, baginda menasihatkan wakil rakyat berbahas secara rasional dan berpegang kepada prinsip kepentingan rakyat dengan mengutamakan kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan.
Baginda bertitah, rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik serta perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
“Ini bukanlah masanya untuk kita berebut kuasa, ini bukanlah masanya semua bersengketa bukanlah masanya untuk kita banyak bicara tanpa berbuat apa-apa, sebaliknya, inilah masanya untuk kita semua bersama.
“Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan ketika ini, sikap bersatu padu dan saling tolong perlu diamalkan.
“Ianya demi negara, negeri dan rakyat jelata dalam keadaan pandemik ini, rakyat menaruh harapan yang sangat tinggi kepada kita semua,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.
Seterusnya, baginda menyeru Kerajaan Pahang bagi meluaskan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang kini berkeluasan 1.59 juta hektar supaya ditambah dari semasa ke semasa.
“Dalam hal ini, saya menyokong usaha kerajaan saya yang bertindak tegas dalam aktiviti penguat kuasaan. Saya berharap ini diteruskan ‘without fear or favour’ (tanpa gentar atau pilih kasih) demi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan serta alam sekitar di negeri ini, berkekalan,” titahnya.
Baginda turut mencadangkan supaya pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) dapat ditambah untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.
Tengku Hassanal Ibrahim juga memuji pencapaian pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan berharap beliau dapat menjalankan tugas dan tanggung jawab diamanahkan sebaik mungkin.
Persidangan DUN mesyuarat pertama penggal ke-4 yang bermula hari ini sehingga 26 Ogos, berjalan teratur mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.