Amaran hujan berterusan di 7 daerah di Pahang

Amaran hujan berterusan di 7 daerah di Pahang

KUANTAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di tujuh daerah di Pahang, bermula hari ini hingga Selasa, 20 Disember. 

METMalaysia dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan amaran hujan berterusan itu dijangka melanda Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Menurut kenyataan itu, amaran hujan berterusan (waspada) akan dikeluarkan apabila terdapat tanda yang menunjukkan hujan, ribut petir sederhana dan dijangka berlaku melebihi enam jam sepanjang tempoh itu di sesuatu kawasan.

Pada masa sama, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang METMalaysia, aplikasi myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan itu.

METMalaysia juga boleh dihubungi di 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN