KUANTAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di sebelas daerah di Pahang, hari ini.
Menerusi kenyataan di laman sesawang jabatan itu, amaran hujan berterusan (bahaya) membabitkan tiga daerah iaitu Jerantut, Kuantan dan Pekan.
Amaran hujan berterusan (buruk) pula di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Temerloh, Maran dan Rompin manakala amaran hujan berterusan (waspada) membabitkan Bentong dan Bera.
Sementara itu, Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut, merekodkan bacaan air sungai melepasi paras amaran, pada jam 11.30 pagi ini, berikutan hujan lebat sejak kelmarin.
Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air sungai itu merekodkan bacaan 56.07 meter (m) berbanding paras amaran ditetapkan 56m.
Dua lagi sungai iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut dan Sungai Keratong,Jalan Kota Bahagia di Rompin melepasi paras waspada, masing-masing pada 64.55m dan 9.57m. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN