Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
JERANTUT: “Ini kali pertama saya berpeluang membawa Jalur Gemilang ketika bertugas. Saya bangga dan puas walaupun tak ramai yang nampak,” kata Wan Mohd Amir Asyraf Wan Abdul Rani.
Foto Wan Mohd Amir Asyraf, 32, bersama Jalur Gemilang yang dipaparkan ini dirakam pada ketinggian kira-kira 46 meter ketika beliau bertugas mengambil benih pokok Meranti Langgong di Hutan Simpan Tekai Tembeling, di sini, kelmarin.
Beliau yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berkata, semangat cintakan negara perlu ada pada setiap rakyat tidak mengira masa dan tempat.
Katanya, pada program mengambil benih anjuran Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman (PPBBT) Lentang, Bentong, beliau diberi peluang membawa Jalur Gemilang bagi meraikan Hari Kebangsaan Ke-64.
“Saya mewakili pasukan memanjat JPNP mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-64. Usaha mempertahankan bumi Malaysia perlu dilakukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa.
“Dalam suasana negara yang dihimpit dengan wabak Covid-19, kita semua perlu sentiasa berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.