Amizar gigih pancing sokongan

Amizar gigih pancing sokongan

KUANTAN: Calon baharu Barisan Nasional (BN), Dato’ Amizar Abu Adam mengakui beliau dan jentera parti sedang gigih membuat pecutan akhir bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari menjadi milik BN.

Untuk itu, beliau dan jentera BN gigih merencana dan melaksanakan strategi ampuh bagi meraih sokongan pengundi di kawasan itu.

“Strategi kena betul, sasaran kena tepat, ‘memancing’ pun tidak boleh sebarangan dalam meraih sokongan pengundi, sebab itu saya amalkan kempen mesra rakyat dan kaedah kenduri kampung.

“Cara itu lebih mendekatkan saya dengan mereka dan begitu juga sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Fikrah Pahang, hari ini.

Keyakinan Amizar merampas kerusi Ketari semakin tinggi apabila mendapat sokongan 100 peratus dari ahli keluarga terutama isteri dan enam anaknya.

Calon  Barisan Nasional (BN) Dun Ketari, Dato’  Amizar Abu Adam bersama calon Parlimen Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai ketika bertanya khabar  dengan peniaga di Pasar Perting, Bentong.

“Saya berterima kasih kepada isteri, Norhida Kassim dan anak-anak yang sangat menyokong serta turut serta membantu di dalam kempen serta menjalankan  aktiviti-aktiviti PRU (Pilihan Raya Umum),” katanya yang turut aktif di media sosial Facebook yang dijadikan medium berkempen.

Amizar yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bentong berkata, majoriti pengundi inginkan pembaharuan dan memilih wakil yang ingin bersama mereka sekali gus mengembalikan pembangunan dan ekonomi Ketari dengan lebih mampan.

“Pengundi sudah jemu dan tidak mahu menerima cara mereka berparti malah gerak kerja mereka dalam membangunkan kawasan Ketari tidak begitu menyerlah.

“Rakyat sudah mengenali parti yang membuat janji tapi tak tertunai dan insha-Allah, BN adalah pilihan pengundi Sabtu ini dan jika saya diberi mandat, saya akan fokus kepada pelaksanaan projek tebatan banjir serta meningkatkan ekonomi selain pendidikan dengan lebih dinamik,” katanya.

Amizar berkata walaupun Ketari dianggap kerusi ‘heavy weight’ kerana disandang DAP sejak dua penggal lalu, namun beliau yakin ruang untuk memberi saingan kepada calon parti lain tetap ada. 

Kita melihat kepada peluang yang terbuka untuk kerusi Ketari dalam pilihan raya kali ini, jadi saya fikir sudah sampai masa untuk kita mengambil semula daripada DAP,” katanya. 

Sabtu ini Amizar akan dicabar Thomas Su Keong Siong (PH) dan Tan Wei Leong (PN). – NUR HANNAH KHADIJAH