Bentong- 21 September 2023. (FIKRAH PAHANG ) Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Beliau yang berasal dari FELDA Chemomoi, Bentong yang ditemui selepas pengumuman calon secara rendah hati akan cuba menterjemahkan mandat dan kepercayaan parti dalam bentuk kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai.
“Saya akan usahakan kemenangan, saya nak teruskan khidmat, teruskan legasi Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun kepada Pelangai,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM).
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya berkata, terdapat lebih 3,400 ahli UMNO di Pelangai dan berharap ahli parti kerja keras, dapat keluarkan sekurang-kurangnya 90 peratus ahli kita keluar mengundi, terus bagi sokongan dan dukungan supaya calon UMNO boleh menang dengan cemerlang.
“Jadi saya harap, bagi rakan-rakan yang disebut (sebagai calon) tetapi tak tersenarai, tidak merajuk atau bercuti. Kita sebagai orang parti, tolonglah kawan kita ini (Amizar) untuk menang di Pelangai.
PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.
Oleh: KABHI ISMAIL