Anak muda Orang Asli tetap sokong BN

Anak muda Orang Asli tetap sokong BN

CAMERON HIGHLANDS: Pengundi muda di daerah ini berpuas hati dengan kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) ke kampung Orang Asli.

Nurnadiawati Dollah, 26, berkata kemudahan asas seperti bekalan air paip, jalan dan elektrik sudah lama disediakan kerajaan yang prihatin dengan masyarakat Orang Asli.

Nurnadiawati Dollah

Katanya, bantuan keperluan asas turut disediakan setiap kali diperlukan, termasuklah sepanjang wabak COVID -19 dan persiapan menghadapi tengkujuh.

“Sebagai pengundi muda saya pasti menyokong calon UMNO. Kalau sokong parti lain belum tentu mereka boleh bantu kami Orang Asli. Mereka kenal kami ketika musim PRU sahaja,” katanya yang menetap di Kampung Terakit, Pos Telanok.

Mangroy Ibrahim

Bagi Mangroy Ibrahim, 20, dia melihat keprihatinan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Ramli Mohd Nor terhadap masyarakat Orang Asli diterjemahkan pelbagai bantuan disediakan.

“Beliau ingin melihat generasi muda Orang Asli mendapat pendidikan yang sempurna hingga ke menara gading.

“Setiap kali datang ke kampung kami, beliau mesti bertemu golongan belia dan memberi nasihat supaya terus belajar,” katanya yang menetap di Kampung Terakit.

Sprit Sen

Rakanya, Sprit Sen, 38, yang menetap di Kampung Rening, Pos Telanok, berkata hanya BN mampu membela nasib Orang Asli.

“Saya akan terus menyokong BN pada PRU15 kali ini. Walaupun ada calon parti pembangkang datang ke kampung, ia tidak mungkin dapat mengubah kepercayaan saya terhadap BN,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.